Friday 21 June 2013

Kesian Rumah Abang Sedare aku yg Terbakar (sinar harian)


PARIT - Ubah suai rumah baru dilakukan tidak sampai setahun, namun malang tidak berbau apabila ianya musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.

Itulah nasib malang yang menimpa keluarga Mohd Kasri Mohd Arif, 28, yang tinggal di Kampung Changkat Banjar, Parit.

Mohd Kasri berkata, kebakaran berkenaan berlaku pada jam 12.10 tengah malam apabila keluarganya sedang tidur.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya, Ashikin Kamaruddin, 22, tiba-tiba terhidu bau asap yang kuat dari dalam rumah dan mengejutkannya untuk memeriksa bau asap berkenaan.

“Apabila saya keluar dari bilik tidur, saya dapati bilik di bahagian hadapan terbakar.

“Saya yang agak panik segera mengambil sebaldi air dan menyimbah kawasan berkenaan, namun tidak berkesan apabila api terus marak membakar rumah itu,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Mohd Kasri segera mengarahkan ahli keluarga termasuk adik ipar yang tidur di ruang tamu keluar dari rumah dengan segera.

“Kami hanya mampu menyelamatkan diri sahaja, api marak cepat, tiada siapa berani masuk semula, segala harta benda musnah dalam kebakaran ini,” katanya.

Mohd Kasri yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun berkata, dia sedih apabila kehilangan rumah berkenaan yang baru sahaja diubah suai.

“Pada asalnya rumah ini rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan diserahkan kepada saya oleh ahli keluarga yang lain.

“Saya mengumpul duit sedikit demi sedikit hasil kerja menoreh dan mengambil upah di ladang sawit serta pinjaman Amanah Ikhtiar akhirnya dapat mengubah suai rumah ini termasuklah membuat bilik air baru serta dapur yang dahulunya sudah rosak teruk.

“Namun rezeki tidak menyebelahi kami apabila rumah ini hangus dalam kebakaran,” katanya.

Namun dia tetap bersyukur kerana ahli keluarganya selamat dalam kejadian berkenaan.

“Sekarang saya terpaksa menumpang rumah ayah dahulu sehingga mendapat bantuan kerana saya sendiri sudah tidak mampu untuk membina kembali rumah ini.

“Saya harap bantuan rumah baru ini dapat dipercepatkan memandangkan kami sekeluarga amat memerlukannya,” katanya.

Seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Parit dibantu enam anggota dari Balai Seri Iskandar tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 12.24 malam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Parit berkata, ketika tiba, api sudah merebak ke seluruh bahagian rumah yang diperbuat daripada kayu dan batu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, operasi ditamatkan pada jam 1.51 pagi, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.


No comments:

Post a Comment